Saturday, 13 October 2012

Posisi Tidur Kala Hamil

CARA BETUL  |    CARA SALAH



Apabila hamil, tubuh melalui pelbagai jenis perubahan. Perubahan berkenaan sedikit sebanyak mengganggu tidur lena. Maka, posisi tidur paling baik kala hamil ialah mengiring. Anda digalakkan untuk tidur mengiring ke sebelah kiri bagi mengelakkan diri menghimpit hati iaitu organ besar yang terletak di bahagian atas kanan perut. Posisi ini turut membantu anda meningkatkan aliran darah dan zat makanan untuk disalurkan ke plasenta dan bayi.

Pada masa yang sama, buah pinggang dapat berfungsi dengan efisien dalam menyingkirkan bahan kumuhan dan ceair daripada tubuh. Dengan yang demikian, masalah bengkak di kaki, buku lali dan tangan dapat diatasi.

Sekiranya anda mempunyai masalah sakit belakang, tidurlah secara mengiring ke kiri dan cuba letakkan bantal di bawah bahagian abdomen. Jika mengalami masalah pedih ulu hati di waktu malam pula, anda mungkin boleh menopang bahagian atas tubuh dengan bantal. Di trimester akhir kehamilan, anda kadang kala mudah sesah nafas. Jadi,cuba mengiring atau topang dengan bantal.

Sangat bagus jika anda mula melatih diri untuk mula melatih diri untuk membiasakan diri tidur mengiring ke sebelah kiri sejak awal usia kehamilan. Sudah tentu, mengekalkan hanya satu posisi tidur sepanjang malam akan menyebabkan anda kurang selesa. Jadi, beralih posisi tidur tetapi tetap mengutamakan bahagian kiri adalah strategi terbaik.

Bagi yang suka menelentang, elakkan posisi ini sepanjang usia kehamilan terutamanya di akhir-akhir usia kehamilan. Posisi ini perlu dijauhkan kerana apabila anda berbuat demikian, berat rahim menekan tulang belakang, otot belakang, usus dan kebanyakan salur darah. Apabila ini berlaku, ia menyebabkan sakit otot dan hemoorhoid, lalu menyebabkan anda tidak selesa dan mengurangkan aliran darah dan oksigen kepada bayi.

Tidur secara menelentang juga boleh menyebabkan tekanan darah menurun seterusnya menjadikan anda pening. Dalam kes tertentu, ia boleh menyebabkan tekanan darah anda naik. Satu fakta menarik yang perlu diketahui ialah tidur menelentang akan membuatkan anda berdengkur!

Saranan ini mungkin tidak cukup membantu anda benar-benar selesa terutamanya jika anda suka tidur dalam   posisi menelentang atau meniarap. Cubalah untuk tidur secara mengiring! Pasti anda dapat lihat keberkesanan hasilnya.

POSISI PATUT DIELAK

Menelentang: Ini akan menyebabkan anda sakit belakang, sukar bernafas, mengalami masalah penghadaman, hemorrhoid, tekanan darah rendah, pengurangan saluran darah dan oksigen kepada jantung dan bayi.

Meniarap: Apabila anda kerap meniarap sepanjang hamil, abdomen anda menanggung perubahan fizikal dan membuatkan ia sukar untuk anda tidur dalam keadaan meniarap.

FAKTOR LAIN

Sebab utama di sebalik masalah tidur sewaktu hamil ialah peningkatan saiz fetus yang membuatkan anda sukar mendapatkan posisi tidur yang selesa. Jika anda suka tidur menelentang atau meniarap, anda mungkin mengalami masalah untuk tidur secara mengiring seperti yang disarankan oleh kebanyakan doktor. Antara simptom fizikal yang mungkin mengganggu tidur anda ialah:

1. Kekerapan membuang air kecil:
Buah pinggang bekerja keras untuk menapis isi padu darah yang bertambah dan menyebabkan air kencing menjadi lebih banyak. Selain itu, saiz bayi dan rahim menekan pundi kencing menyebabkan anda lebih kerap ke bilik air tidak kira siang atau malam. Ini terutamanya di waktu malam, kerana bayi biasanya aktif ketika ini.

2. Peningkatan kadar denyutan jantung:
Jantung berdenyut lebih laju ketika hamil kerana mengepam lebih darah. Memandangkan bekalan darah disalurkan ke rahim, jadi jantung perlu bekerja lebih keras untuk memberi darah mencukupi ke seluruh bahagian tubuh.

3. Sukar bernafas:
Pada mulanya, kesukaran bernafas berpunca daripada hormon kehamilan yang akan menyebabkan anda menarik nafas lebih dalam. Ini menyebabkan anda berusaha keras untuk mendapatkan udara. Seterusnya, pernafasan menjadi lebih sukar berpunca daripada pembesaran saiz rahim yang mengambil lebih banyak ruang menyebabkan tekanan kepada diaphragm (otot di bahagian bawah paru-paru)

4. Kaki kejang dan sakit belakang:
Kesakitan di bahagian kaki dan belakang badan disebabkan oleh berat badan berlebihan yang anda alami. Sewaktu hamil, tubuh menghasilkan hormon dikenali sebagai relaxin yang membantu anda menyiapkan tubuh untuk proses kelahiran. Salah satu kesan daripada relaxin ialah ia melonggarkan ligamen tubuh menjadikan anda kurang stabil dan cenderung mengalami kecederaan terutamanya di bahagian belakang badan.

5. Pedih ulu hati dan sembelit:
Anda mungkin mengalami pedih ulu hati yang mana berlaku apabila kandungan dalam perut refluks ke esofagus. ketika hamil, keseluruhan sistem pencernaan menjadi lemah dan makanan akan tinggal dalam perut dan usus untuk tempoh yang lebih lama sehingga menyebabkan pedih ulu hati dan sembelit. Kedua-dua masalah ini akan menjadi lebih buruk apabila usia kehamilan bertambah kerana rahim menekan perut dan usus besar.

6. Lain-lain sebab:
Kebanyakkan wanita hamil melaporkan makin kerap bermimpi. Malah, ada juga yang mengalami mimpi ngeri. Tekanan juga mengganggu tidur. Mungkin anda bimbang kesihatan bayi, risau tentang keupayaan diri menjadi ibu yang hebat, atau gelisah tentang proses pelahiran. kesemua faktor ini normal namun malangnya ia sedikit sebanyak mengganggu tidur anda dan mungkin si suami juga.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts