Wednesday, 17 October 2012

Gizi

Bahaya Makanan Pejal dalam Botol Susu


Diakui, ada sesetengah ibu bapa gemar mencampurkan bijirin bayi ke dalam botol susu bayi mereka. Alasannya agar anak kenyang dan tidak kerap jaga malam. Ini adalah amalan yang sangat salah. Bijirin bayi atau makanan pejal langsung tidak boleh menggantikan susu atau dicampurkan dengannya. Malah, bahan tersebut akan menambahkan kalori dan boleh menjadi penyumbang ke arah obesiti. jika anak anda kelihatan seperti masih lapar walaupun sudah diberi susu, maknanya kuantiti susu yang diminum itu perlu ditambah dan bukan mencampurkan sesuatu ke dalamnya. 

 Diingatkan kepada ibu dan bapa agar jangan terlalu teruja untuk memperkenalkan makanan pejal kepada anak. Bersabarlah kerana harinya pasti tiba. Anda boleh tahu sama ada anak bersedia untuk menerima makanan pejal atau tidak apabila dia sudah boleh duduk dengan hanya sedikit bantuan, kepala dan lehernya sudah kuat, menunjukkan minat terhadap makanan yang anda makan, tidak mengeluarkan makanan yang disuapkan kepadanya dan pandai meminta makanan dan menolaknya setelah kenyang.

Bahaya Tercekik
Dalam proses makanan pejal kepada bayi, anda perlulah menggunakan sudu atau menggunakan jari. Jangan sesekali beri anak makanan pejal menggunakan botol susu. Hal ini sangat berbahaya kerana bayi anda boleh tercekik atau terlalu banyak makanan yang masuk ke dalam perutnya dalam satu-satu masa. Makan menggunakan sudu atau jari merupakan langkah pertama yang perlu anak tahu ketika belajar makan makanan pejal. Dan inilah juga cara orang dewasa makan. Makan menggunakan sudu dan jari membolehkan bayi anda belajar mengunyah dan menelan makanan dengan cara yang betul.

 Biasanya bayi sudah cukup bersedia untuk menerima makanan pejal setelah berusia sekitar enam bulan. ketahuilah bahawa memberi anak makanan pejal lebih awal daripada yang disarankan akan memudaratkan. Antara masalah yang boleh terjadi ialah alahan terhadap makanan. Keadaan in iberlaku kerana usus, sistem penghadaman dan sistem imun bayi kurang empat bulan masih belum terbentuk sepenuhnya.

 Memperkenalkan makanan pejal ketika usia masih terlalu muda akan memaksa organ dalaman bayi anda bekerja lebih daripada sepatutnya. Malah, ketika itu, dia sendiri belum mampu memberikan tindak balas sewajarnya terhadap makanan yang diberi dan tidak mampu memberitahu sama ada dia sudah kenyang ataupun tidak. Akibatnya, bayi anda akan terlebih makan.

 Seperkara lagi yang anda perlu tahu ialah bayi di bawah usia enam bulan juga tidak mempu mengunyah dan menelan dengan betul. Pastinya kekurangan ini boleh menyebabkan bayi anda tercekik. Tahukah anda bahawa bayi yang diberi makanan pejal sebelum usia enam bulan berkemungkinan berhadapan dengan masalah perut dan usus apabila besar kelak!.

Perlu banyak Bersabar
Proses memperkenalkan makanan pejal kepada bayi bukanlah perkara yang mudah. Tetapi, dengan perancangan yang teliti dan persediaan rapi, proses ini pasti dapat dikendalikan sebaiknya. Bukanlah sesuatu yang pelik jika ketika anda memberi anak makan, lebih banyak yang keluar daripada yang masuk ke dalam perut. Oleh itu, pastikan anda pakaikan anak alas dada (bib) untuk mengelakkan baju kotor. Walaupun agak menyiksakan terutama pada hari-hari pertama, anda perlulah banyak bersabar. Jadikan waktu makan anak sesuatu yang menyeronokkan. Jangan sesekali marah-marah dan meninggikan suara kerana perkara ini boleh menyebabkan bayi anda tidak suka makan.

 Selain itu, pastikan anda menggunakan sudu yang sesuai dengan anak iaitu yang kecil dan dibuat daripada plastik. Bukan menggunakan sudu keluli tahan karat yang anda biasa gunakan. Sudu makan khas untuk kanak-kanak ini boleh dibeli di kedai-kedai barangan bayi.

 Ketika mula memperkenalkan makanan pejal kepada anak, anda janganlah terkejut dengan kuantiti makanan yang bayi anda makan kerana jumlahnya terlalu sedikit. Anda disarankan agar memulakan dengan hanya memberi bayi makan satu atau dua sudu teh sahaja setiap kali waktu makan. Dan kuantiti ini akan bertambah sehingga satu atau dua sudu makan setelah dia biasa dengan makanan pejal.

 Semasa anak makan, pastkan badannya tegak agar dia dapat menelan dengan mudah dan tidak tercekik. Anda juga jangan memaksa anak makan supaya cepat habis tetapi tunggu isyarat daripadanya sebelum memberi suapan kali kedua dan seterusnya. Sebaiknya, beri anak makan ketika dia benar-benar lapar. Dengan cara ini barulah anak anda bersungguh-sungguh. Akan tetapi, pastikan anda perkenalkan hanya sejenis makanan dalam satu-satu masa dan untuk selama beberapa hari. Misalnya, mulakan dengan puri nasi selama 4 hari. Setelah anak biasa dengan puri nasi dan tidak menunjukkan sebarang alergi, bolehlah ditukar kepada puri yang lain pula. Begitulah seterusnya sehingga anda tahu apa yang anak boleh dan suka makan dan yang penting makanan yang anda beri itu tidak memudaratkannya.

Ingat, jika anak tidak suka satu-satu jenis makanan yang anda berikan, jangan memaksa. Biarkan sahaja.

 Mungkin tekaknya belum bersedia menerima rasa makanan tersebut. Cuba lagi pada waktu yang lain. Yang pentingnya, anda janganlah mudah berputus asa dan bersikap terlalu mendesak. Buruk padahnya nanti. ♡

NOTA:
Jangan sesekalu biarkan anak tidur dengan botol susu yang masih ada dalam mulutnya. Hal ini akan mengakibatkan gula terkumpul dalam mulutnya lalu membentuk kaviti yang akan merosakkan gigi. Jangan sesekali memberi anak minum minuman berkarbonat atau minuman dalam tin yang mempunyai kandungan gula yang tinggi atau apa-apa sahaja makanan yang boleh menyebabkan dia tercekik.♡

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Popular Posts